Pages

Monday, April 16, 2012

Akhlak: Mata Menyentuh Hati (",)



Dalam hidup ini, ramai manusia yang kita jumpa. Adakala kita bertemu adik-beradik kita, adakalanya juga kita bertemu dengan sahabat-sahabat kita, ibu-bapa, guru-guru dan manusia sekeliling kita. Setiap pertemuan pastinya mempunyai gaya yang tersendiri, ada masa kita bertemu mereka dengan perancangan ingin berjumpa, ada ketika kita pula bertemu mereka tanpa diduga.

Awal Pertemuan Dengan Mata

Bayangkan anda disebuah komples membeli-belah yang dipenuhi manusia. Sedang anda berjalan anda bertemu dengan sahabat anda. Rasanya dengan apa anda bertemu dengannya? Atas jalan apa? Melalui apa?

Saya pernah bertanya kepada anak murid saya: "Hari itu kamu perasan ustaz solat di Masjid negeri Shah Alam kan... Macam mana kamu boleh perasan ustaz ada disitu?"

Jawab anak murid saya: "Saya terlihat ustaz waktu berlegar di ruang masjid".

Baik. Kita fokus pada perkataan "terlihat". Ini contoh pengalaman saya yang pertama. Pengalaman kedua pula, ketika saya mula masuk ke kelas, anak murid saya bertanya kepada saya: "Ustaz, ustaz pergi Pesta Buku Antarabangsa hari sabtu hari tu kan? Ustaz beli buku apa? Banyak ke ustaz beli?"

Saya terdiam sebentar lalu menjawab: "Ya, ustaz pergi pesta buku tu hari sabtu. Macam mana kamu semua boleh tahu kata ustaz pergi?"

Anak-anak murid: "Kami nampak ustaz".

Baik. Kita fokus pula pada perkataan "nampak". Lihat dengan teliti, tidakkah anda nampak, sebenarnya awal pertemuan majoritinya bertemu dengan mata, bertemu atas jalan melihat, melalui pandangan.

Pandang Dengan Penuh Kasih Sayang

Semua yang saya ceritakan sebentar tadi, adalah pertemuan tidak diduga, tanpa apa-apa perancangan sesama mereka. Setiap pertemuan pasti ada nilainya, pandangan kita, percakapan kita, bahkan kelakuan kita.

Andaikan kita bertemu dengan sahabat-sahabat kita, bagaimana kita melayan mereka? apakah kita pandang mata mereka dengan layanan penuh kasih sayang, pandang dengan layanan penuh kemesraan? Jika tidak, maka pandanglah semula dengan pandangan kasih sayang.

Pernah suatu ketika murobbi saya berkata: "Bila cikgu bercakap dengan seseorang, cikgu akan pandang mukanya, matanya. Bila kita pandang mereka dengan penuh kasih sayang, mereka akan rasa dihargai. Mereka akan hormat kita, sebab kita layan sepenuhnya bila mereka berbicara".

Jadi, mereka yang tidak melihat seseorang ketika orang tesebut sedang berbicara dengannya pasti akan melalui satu keadaan, ditinggalkan kawan, pandangannya tidak akan diberi perhatian dan hubungannya dengan sesiapa jua pasti berlaku sedikit permasalahan disebabkan perlakuannya itu. Betapa banyak ia mengguris hati temannya, ketika berbicara dengan mereka.

Beribu KM: Dengan Perasaan Rindu Untuk Melihat Sahabat

Pernah suatu ketika Abbas Assisi dijemput untuk memberikan ceramah di perkhemahan musim panas di salah satu negara Arab.Beliau sudah banyak mengenal pemuda yang ikut dalam perkhemahan tersebut. Tatkala beliau bersama sahabatnya, datang ke tempat itu pada waktu yang telah ditentukan, ternyata tiada seorang pun yang menyambut kedatangan mereka.

Sepanjang perkhemahan tersebut, beliau melalui keadaan yang sungguh kaku, pemuda-pemuda yang pemalu dan pendiam, akan tetapi Abbas Assisi memandang mereka dengan penuh layanan kasih sayang dan berkata:

"Saudaraku Sekalian, Sesungguhnya orang seperti saya ini dapat datang ke tempat ini dengan melewati perjalanan panjang dan melelahkan, serta menempuh jalan ribuan mil. Saya datang kepada kalian dengan perasaan rindu dan kasih sayang tanpa ada tujuan duniawi dan tujuan peribadi. Saya datang untuk melihat wajah kalian dan itulah nikmat yang amat besar yang dapat menghilangkan rasa penat dan lelah setelah menempuh perjalanan panjang."

Beliau kemudian mebaca hadis Nabi SAW: "Barangsiapa memandang saudaranya dengan pandangan penuh kasih sayang, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya."

Pandangan Mata Rasulullah SAW

Kaum Muslimin pada suatu waktu sedang menunaikan solat, merasa gembira dengan serta merta merasa gembira tatkala melihat Rasulullah SAW membuka tirai rumahnya dan memandang tersenyum kepada mereka. Padahal waktu itu (di hari-hari akhir hayatnya) Rasulullah SAW sedang sakit, sehingga mereka menyangka bahawa Rasulullah SAW telah sembuh dari sakitnya. Mereka tidak menyangka bahawa itu adalah pandangan perpisahan.

Lihatlah bagaimana Rasulullah memandang umatnya, penuh dengan senyuman kemesraan dan kasih sayang. Jikalau kita sedemikian rupa, pastinya ramai yang dapat merasai harga sebuah kasih sayang dan harga sebuah pertemuan. Barulah pertemuan yang kita lalui bernilai, penuh dengan perasaan hormat dan menghormati.Ukhuwwah akan lebih terasa dan berkekalan lamanya.

Penutup: Orang Puas Hati, Kita Memikat Hati

Murobbi saya, Cikgu Abdullah Thaidi Hassan, pernah menceritakan kepada saya bagaimana beliau mula terpikat dengan AllahYarham Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain. Kata beliau:

"Pada tahun 1979, semasa cikgu mula-mula mendengar ceramah Ustaz Dahlan di Alor Star (Ketika berumur 18 tahun), pada ketika itu beliau menyampaikan tajuk “Syumul Islam”. Cikgu mendapati satu keunikan dan tertarik pada diri Dai’e ini (Ustaz Dahlan) dimana cikgu merasa cikgu sentiasa diberi perhatian dalam kalangan para pendengar yang ramai walaupun pada masa itu cikgu masih lagi remaja."

Lihatlah, akhlak sahaja sudah boleh menyentuh hati. Layanan dan penumpuan terhadap seseorang itu ternyata perlu untuk membawa manusia kembali kepada Allah SWT.

Untuk penutup, saya lebih suka membawa kata-kata Abbas Assisi yang seiring dengan cerita murobbi saya tersebut:

"Penampilan dan akhlak yang baik akan membuatkan orang yang baru sahaja memandang menjadi tertarik dan simpati. Maka kita akan menjumpai ada sebahagian orang yang menggantungkan (meletakkan) kepercayaan melalui pandangan matanya".

_________________________________________________
"Syakhsiah Kita, Hendaklah Berdasarkan Nilaian Allah SWT" ^^