Pages

Showing posts with label Luahan Hati. Show all posts
Showing posts with label Luahan Hati. Show all posts

Monday, April 11, 2011

Murid Perempuan, Aneka Ragamnya (",)

[Tidur lagi! Masalah, Masalah!]

11 April 2011

Selepas solat zohor, saya berjalan cepat ke bilik guru dan menuju ke arah meja saya. Tangan saya menggapai buku rancangan mengajar harian, lalu dibuka dan saya melihat jadual saya. Berkata saya: "Oh, ada kelas pukul 2.30-3.00! Kelas Imla' dengan tingkatan satu puteri." Saya lekas melihat jam tangan, ternyata waktunya telah hampir, jam menunjukkan pukul 2.26 pm. Maka saya tanpa membuang masa bersiap-sedia dan keluar dari bilik guru. Sedang saya memakai kasut, datang 3 orang pelajar puteri tingkatan 1 kepada saya, riak muka mereka seolah-olah ada sesuatu yang ingin diperbincangkan.

Saya pun lantas bertanya: "Haa, nak apa jumpa ustaz ni?". Mereka tergesa-gesa menjawab: "Kami nak beritahu ustaz sesuatu! Ustaz guru kelas tingkatan 1 Amanah (puteri) kan?". Dia kembali menyoal pula maka saya pun jawab: "Ya, ustaz guru kelas mereka! Apa yang kamu bertiga nak beritahu ustaz?". Dengan nada teragak-agak mereka menjawab: "Kami nak bagitau ustaz yang kelas tingkatan 1 Amanah tu ada banyak masalah." Saya bertanya: "Apa dia masalahnya? terang sehabis-habisnya!". Mereka beritahu bahawa ketua kelas tidak dapat kawal kelas kerana sikap pembantu kelas yang buat kerja sambil lewa/leka, lagi kelas tersebut ramai yang tidur waktu guru-guru masuk mengajar. Saya pun kata: "Hurmm, takpe! Ustaz akan uruskan (lalu berjalan terus menuju ke kelas 1 Amanah).

Semua pelajar berdiri, salam pun diberi, balas salam pun di buat. Tetapi saya tidak membenarkan para pelajar itu duduk lagi. Saya berkata kepada kelas: "Ustaz takkan beri kamu semua duduk, selagi soalan ustaz tak diberi jawapan, Ustaz nak tanya! Apa masalah yang berlaku dalam kelas ini? ustaz sebagai guru kelas perlu tahu!

Beberapa orang pelajar puteri memberitahu bahawa kelas tersebut ada puak-puak tersendiri, ada geng-geng, sombong dan tak mau campur dengan yang lain. Malah pelajar yang tinggal di rumah bergaduh dengan pelajar asrama dll. Maka saya pun berkata: Mengapa perlu bergaduh? Bukankah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah (takutlah) kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Ayat 10)

Saya menyambung lagi: "Allah kata bahawa orang yang beriman itu bersaudara, siapa di dalam kelas ini bukan orang beriman angkat tangan!" Semua pelajar tunduk diam. Lagi saya: "Siapa yang dalam kelas ini bukan orang beriman turun tangan!" Semua pelajar pantas mengangkat tangan supaya tak dikatakan bukan orang beriman. Maka saya pun berkata: "Lihatlah, kamu semua pun mengaku bahawa kamu ini orang yang beriman, tiada siapa pun yang suka apabila dikatakan tidak beriman, jadi mulai hari ini ustaz mahu kamu semua saling maaf memaafkan, dan jangan ada yang bermusuh-musuhan, boleh ke tak?" Keseluruhan kelas menjawab: "Insya Allah ustaz." Saya menarik nafas lega.

"Lagi, apa masalah yang kamu semua hadapi?" soal saya. Para pelajar beritahu bahawa hampir separuh kelas tidur sewaktu guru mengajar. "Aik? puteri pun tidur juga ke? Ingatkan putera sahaja! Ustaz nak tanya kamu semua, hukuman apa perlu dibuat kepada siapa yang tidur dalam kelas ini?". Mereka beritahu bahawa ada senarai kesalahan yang ditampalkan di papan notis hadapan dan hukumannya ialah berbentuk bayaran, siapa yang buat salah dikehendaki bayar kepada kelas nilai sekian-sekian.

Saya pun melihat ke papan notis dan berkata: "Ooo, makan dalam kelas 30 sen, tidur dalam kelas... 30 sen juga?". Pelajar puteri: "Ya, betul tu ustaz!". Saya mengemukan: "Tidur dalam kelas mana boleh 30 sen!". "Habis tu ustaz, berapa?" tanya mereka. Saya tersenyum sambil menghulur tangan ke hadapan, di buka genggaman tangan itu jari demi jari dan berkata: "Tidur kena Rm 5.00!". Satu kelas kegemparan dan ada yang protes (hehe). Majoriti tidak bersetuju dan membangkang. Saya pun berkata: "Berani ke nak bangkang ustaz, ustaz kan guru kelas kamu semua, ustaz punya kawasan, ustaz boleh lah nak tetapkan peraturan dan tiada siapa boleh halang ustaz daripada menukar undang-undang kelas ini (sambil ketawa kecil, hahaha)."

Nak dipendekkan cerita, selepas itu saya sambung mengajar mereka dan terbukti keberkesanannya, tiada seorang pun yang tidur. Masya Allah.

Lihatlah, berbagai dan beraneka ragam mereka ini, apa yang penting kita kena kreatif dan tegas sedikit dalam menghadapi mereka. Sekadar ingin berkongsi dan bercerita. Perasaaan dan pengalaman anugerah Allah SWT. Moga Allah redha! [p/s: Sedang buat persiapan mengajar esok pula, sempat pula update blog dan berkongsi cerita] (",)

Sunday, April 3, 2011

Pilihan ku, yang mana patut pergi? (",)


Jordan kah??

atau Mesir kah yang sesuai untuk menyambung pengajian ku??

Dalam kehidupan kita ini, Kita seringkali berdepan dengan berbagai pilihan yang memerlukan keputusan segera. Setiap pilihan yang kita lakukan akan menetukan nasib kita dikemudian hari. Kadangkala kita tersalah membuat pilihan menjadikan kehidupan kita bermuarakan kesedihan, kekecewaan dan penyesalan.

Kadangkala kita membuat pilihan yang bijak dan betul namun itu bukanlah satu-satunya pilihan yang perlu kita lakukan. Hidup ini umpama satu rangkaian teka teki, jika kita berjaya mendapatkan jawapan yang betul maka kita akan berpeluang menjawab teka teki yang seterusnya.

Inilah simpang siur kehidupan. Persoalannya "Adakah kita telah memilih jalan yang betul?"

Antara persoalan dan perkara yang saya buat ketika membuat keputusan:

1. Untuk tujuan apakah saya ke sana? Kalau tujuan hanya untuk meraih dunia, populariti, kepentingan peribadi (dengan erti kata lain tujuan untuk sesuatu yang remeh), lebih baik di abaikan.

Jika sekiranya tujuan dan bermatlamatkan Redha Allah SWT, yakni hidup untuk sesuatu yang besar, maka itu yang saya pilih.

2. Betulkah pilihan itu membolehkan saya menggapai Redha Allah SWT? Untuk menentukannya, kita boleh lihat di sekitar kehidupan kita nanti, ada atau tidak sahabat-sahabat yang hendak tegur jika kita buat silap, ada tak sahabat-sahabat yang hendak beri peringatan untuk kebaikan, ada tak suasana yang mendidik hati kita supaya lebih dekat kepada Allah SWT.

Seandainya jawapan kepada persoalan tersebut adalah ya, maka saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan. Jika jawapannya tidak, maka saya tidak akan pandang terhadapnya.

Tambahan dalam membuat keputusan, ramai manusia terlupa, ketika ia penat lelah menghasilkan sesuatu keputusan ia terlupa untuk memohon kepada yang Maha merubah takdir.

PENGHARAPAN KEPADA ALLAH

Sejauh mana atau sepayah mana pun sesuatu perkara, janganlah sekali-kali kita lupa kepada Allah. Ianya kerana Allah SWT lah yang Maha Mengetahui setiap urusan hamba-hambanya, malah Allah SWT lah yang mendatang sesuatu musibah dan mendatangkan kegembiraan kepada makhluknya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, pasti Allah berdaya menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan siapa yang Ia kehendaki dan menyeksa siapa yang Ia mahu (menurut undang-undang peraturan-Nya). Ingatlah, Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya."(Ayat 284)

Manusia selalu hilang pertimbangan kerana selalu tidak berharap kepadaNya.
Di samping ketiadaan matlamat dan noktah bidayah (titik mula) yang jelas.

Perlunya kita tahu apa matlamat sebenar yang kita kehendaki dari pemilihan dan membuat keputusan ini agar kita tidak tersalah memilih jalan yang terbaik buat kita.

Kesilapan dan kecuaian ada padahnya. Setiap pilihan yang kita lakukan memerlukan keseriusan, kepekaan jiwa dan kesungguhan untuk melakukan pilihan yang terbaik. Kelemahan jiwa kadang-kadang menyebabkan kita memandang mudah dan remeh perkara utama dalam kehidupan kita hingga kita terperangkap dengan akibat kecuaian dan kebodohan kita dalam memilih jalan yang betul.

Buatlah keputusan, pastikan keputusan kita itu adalah untuk sesuatu yang besar.
Tiada suatu yang besar melainkan Allah SWT.

"Hiduplah untuk sesuatu yang besar"

--------------------------------------------------
Kesimpulannya, tidak kiralah sama ada saya akan ke mesir atau jordan, yang penting Allah sentiasa ada bersama, ada sahabat yang memperingatkan dan kita kekal diatas jalanNya.

Wallahu A'lam. [Masih lagi mengurus urusan ke jordan dan ke mesir] (",)