Alhamdulillah Allah SWT beri saya sedikit kesempatan untuk menulis dan berkongsi sedikit apa yang ilmu yang saya perolehi dan dari pengalaman seharian saya.
Beberapa minggu yang lepas, setiap kali kelas, saya akan berkata-kata sedikit kepada para pelajar sebelum saya keluar. Antara tajuk yang saya suka untuk sampaikan ialah mengenai Rasulullah SAW. Seorang insan yang mempunyai pengorbanan diluar batas kemanusiaan.
Setelah selesai mengajar, saya cuba tarik perhatian pelajar untuk mendengar apa yang saya cuba sampaikan. Saya kata: "Baik, hari ini ustaz hendak kata sedikit mengenai Rasulullah SAW. Jadi, siapa boleh beritahu ustaz apa yang dia tahu mengenai Rasulullah SAW?"
Tiada seorang pelajar pun yang ingin mengangkat tangan apatah berkata-kata mengenai Rasulullah. Saya kata: "Takkanlah orang islam tidak tahu mengenai Rasulullah?" Ada beberapa orang pelajar yang mengangkat tangan ingin mencuba. "Baik, kamu yang hujung, apa yang kamu tahu mengenai Rasulullah?" kata saya. Pelajar tersebut berkata: "Rasulullah ialah pesuruh (utusan) Allah". Saya kata: "Itu sahaja?". Kemudian ada seorang pelajar menyampuk: "Rasulullah ialah seorang manusia yang menyampaikan ajaran islam kepada manusia". Saya kata: "Lagi?". Seorang lagi pelajar mencelah: "Rasulullah ialah manusia yang berakhlak mulia."
Saya memberitahu mereka bahawa kesemua jawapan yang mereka berikan adalah betul-betul belaka. Dan saya berkata kepada mereka: "Cuma bagi ustaz, apa yang boleh ustaz katakan mengenai Rasulullah ini ialah "Kerinduan Rasulullah kepada Kita"." Dan saya terus bercerita.
Pernah suatu ketika para sahabat sedang duduk bersama Rasulullah SAW. Sedang mereka duduk, Rasulullah bertanya kepada sahabat bahawa siapakah hamba Allah yang paling mulia di sisi Allah. Ada sahabat yang menjawab Para malaikat, Para Nabi, dan diri mereka sendiri yakni para sahabat. Rasulullah SAW mengiyakan akan tetapi Rasulullah menyatakan bahawa ada lagi yang lebih mulia. Para sahabat terdiam tak mampu berkata apa-apa. Rasulullah memandang para sahabat satu-persatu sambil tersenyum kemudian baginda menangis. Lalu para sahabat pun bertanya mengapa baginda Rasulullah menangis. Rasulullah mengangkat wajahnya dan kelihatan air mata berlinang membasahi pipi dan janggut baginda.
Dan Rasulullah bersabda: "Wahai sahabat ku, tahukah kalian siapakah yang mulia itu? Rasulullah menyambung: "Mereka adalah manusia-manusia, mereka akan lahir setelah jauh kewafatanku nanti, mereka begitu mencintai Allah. Dan tahukah kalian, mereka tidak pernah memandangku, mereka tidak pernah melihat wajahku, mereka hidup tidak dekat dengan aku seperti kalian tetapi mereka begitu rindu kepadaku, dan saksikanlah wahai sahabatku bahawa aku juga rindu kepada mereka, mereka yang yang mulia itu, merekalah umatku!".Lihatlah dan perhatikanlah, bukankah kita yakni umat Nabi Muhammad yang disebutkan itu? Rasulullah begitu mencintai dan merindui kita, adakah kita rindu pada Rasulullah?
Saya berkata lagi kepada para pelajar: "Mari... Mari kita lihat dan contohi kehidupan sahabat generasi awal, lihatlah bagaimana kerinduan dan kecintaan mereka kepada Rasulullah.
1) Rabiah bin Ka'ab
Ada sesuatu pada diri Rabiah ini yang menyentuh hati saya untuk mencontohi beliau. Rabiah bin ka'ab sebenarnya adalah pengawal peribadi Rasulullah. Rabiah selalu sahaja menjaga keperluan Rasulullah SAW, Rabiah akan mendisiplinkan dirinya untuk menjaga di depan pintu rumah Rasulullah. Pernah suatu ketika, Rasulullah bertanya kepada Rabiah: "Adakah engkau tidak mahu berkahwin wahai Rabiah?". Maka dijawab oleh Rabiah: "Saya lebih rela berkhidmat untuk Tuan sepanjang hidup saya. Dan pernah suatu malam, ketika Rabiah berjaga didepan pintu rumah Rasulullah, Rabiah mendapati Rasulullah SAW terjaga dari tidur baginda, maka lantas Rabiah mengambil dan membawa bekas berisi air dan diberikan pada Rasulullah. Kerana apa? kerana Rabiah tahu bahawa Rasulullah ingin menunaikan Tahajud (Qiyamullail).
Sewaktu Rasulullah sedang solat, Rabiah terdengar suara dari langit seolah-olah menjawab segala ayat Al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah di dalam solatnya. Rabiah bin Ka'ab merasa hairan lantas bertanya kepada Rasulullah seusai sahaja Rasulullah selesai menunaikan solat. Rabiah berkata: "Sewaktu Tuan solat, saya mendengar seolah-olah ada suara daripada langit, suara apakah itu ya Rasulullah?". Rasulullah SAW tidak menjawab akan tetapi menanyakan sebuah soalan kepada Rabiah: "Wahai Rabiah Bin Ka'ab, adakah kamu mempunyai apa-apa hajat?" Maka Rabiah menjawab: "Saya tidak punya apa-apa hajat melainkan saya ingin bersama-sama Tuan di dalam syurga Allah SWT kelak"Allahu Akbar. Betapa hebatnya cita-cita dan harapan para sahabat. Betapa hebatnya kerinduan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah SAW. Mari bersama, kita contohi mereka!!!
[P/S: Banyak lagi kisah para sahabat yang saya ceritakan, cuma tidak mampu menulis kesemuanya]
2 comments:
belajar banyak
Amazing topic. best washing machine for borewell water
Post a Comment