Pages

Saturday, April 30, 2011

Lain Kelas, Lain Ragam, Semuanya Taaruf, Semuanya Untuk Berkenalan (",)

Lain kelas lain ragamnya, dan bagi saya sendiri saya simpulkan segalanya dalam beberapa patah perkataan iaitu "Semuanya itu Untuk Taaruf Dan Untuk Berkenalan".

Ya betul, semuanya untuk berkenalan. Untuk pengetahuan semua, saya mengajar kelas tingkatan 1 putera dan puteri, untuk kelas putera ada dua kelas dan masing-masing berlainan ragam. Kalau kelas Putera satu Hikmah suasananya senyap sunyi kecuali ketika diberi jawapan semua akan bersorak kegembiraan seperti: "Yeeey! Betul! Ko salah, aku betul!"

Kalau kelas Putera satu Fathonah suasananya pula amat kontra daripada kelas satu Hikmah. Suasana mereka pula sewaktu saya sedang mengajar memang bising riuh-rendah, pelajar tidur dan kena marah dengan saya. Dan sewaktu diberi jawapan semua senyap, seolah-olah tidak gembira seakan jawapan hampir semua salah (peperiksaan sudah dekat harap mereka lebih rajin lagi).

Saya juga mengajar kelas tingkatan 1 puteri, juga mempunyai dua kelas iaitu kelas 1 Hasanah dan kelas satu Amanah. Kedua-dua kelas ini juga amat berbeza dan kontra. Dan untuk kelas puteri memang terbalik suasana dan keadaannya dengan kelas putera.

Kalau kelas satu Hasanah suasananya amat riuh, dipenuhi gelak ketawa (saya sudah tak tahan nak gelak, masuk kelas mereka sahaja mesti gelak punya). Dan mereka inilah yang paling banyak beri respon ketika saya mengajar. Dan kelas mereka inilah yang paling suka membantah saya apabila tidak setuju dalam suatu perkara. Saya suka keadaan tersebut. Sebabnya saya selalu menang, segala gerak jawapan saya sertakan Dalil Quran dan Hadis. Saya selalu menang. Hehe. Komen Saya kepada kelas 1 Hasanah ialah "Tamam Bi Tamamin".

Kalau kelas satu Amanah pula amat kontra, pening saya dibuatnya, kelas yang amat senyap seolah-olah tiada respon walaupun saya bertanya. Semua suka guna isyarat angguk dan isyarat paling. Kelas yang suka tidur, kelas yang saya selalu sakit tekak untuk menerangkan pelajaran. Tapi saya tahu, mereka sentiasa berusaha, moga mendapat keputusan baik di dalam peperiksaan.

Saya juga mengajar kelas tingkatan 2 Amanah Puteri, kelas ini suasananya bermacam ragam. Ada yang tidur, ada yang suka tanya soalan pelik-pelik ada yang tersenyum kambing.

Saya juga mengajar tingkatan 4, putera dan puteri. Kalau kelas 4 putera suasananya agak tegang. Tidur, bersembang, buat kerja rumah subjek lain, gelak-gelak mengumpat. Komen saya terhadap mereka: "Kehidupan Mereka itu, Moga Allah Redha!"

Kalau kelas tingkatan 4 puteri suasananya sama seperti kelas 1 Hasanah, mereka beri respon yang baik, suka bertanya soalan yang bagus dan suasana yang sesuai untuk pembelajaran. Semoga berjaya menjawab dengan baik di dalam peperiksaan yang kian menjelang. Moga Allah Redha!


Apa yang dapat saya katakan di sini ialah kesemuanya itu adalah satu taaruf (satu perkenalan). Dan saya gembira dengan pelbagai ragam yang saya hadapi. Guru saya sendiri pernah menyebut: "Cuba bayangkan kalau seluruh alam ini, atau pun bumi ini mempunyai satu warna, warna hijau sahaja, atau warna putih sahaja atau warna gelap sahaja, tentulah melihatnya sahaja sudah terasa bosan dan hambar. Begitu juga dengan kehidupan kita. Kehidupan kita perlu diwarnai dengan pelbagai warna. Itulah dia warna-warni kehidupan.

Maka ingin saya katakan disini, merekalah warna-warna kehidupan saya, mewarnai kehidupan saya dengan pelbagai warna dan ragam mereka. Benarlah firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat:


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) [Ayat 13]

Sekian~ Hidup Kita Ini, Moga Allah Redha!

Monday, April 11, 2011

Murid Perempuan, Aneka Ragamnya (",)

[Tidur lagi! Masalah, Masalah!]

11 April 2011

Selepas solat zohor, saya berjalan cepat ke bilik guru dan menuju ke arah meja saya. Tangan saya menggapai buku rancangan mengajar harian, lalu dibuka dan saya melihat jadual saya. Berkata saya: "Oh, ada kelas pukul 2.30-3.00! Kelas Imla' dengan tingkatan satu puteri." Saya lekas melihat jam tangan, ternyata waktunya telah hampir, jam menunjukkan pukul 2.26 pm. Maka saya tanpa membuang masa bersiap-sedia dan keluar dari bilik guru. Sedang saya memakai kasut, datang 3 orang pelajar puteri tingkatan 1 kepada saya, riak muka mereka seolah-olah ada sesuatu yang ingin diperbincangkan.

Saya pun lantas bertanya: "Haa, nak apa jumpa ustaz ni?". Mereka tergesa-gesa menjawab: "Kami nak beritahu ustaz sesuatu! Ustaz guru kelas tingkatan 1 Amanah (puteri) kan?". Dia kembali menyoal pula maka saya pun jawab: "Ya, ustaz guru kelas mereka! Apa yang kamu bertiga nak beritahu ustaz?". Dengan nada teragak-agak mereka menjawab: "Kami nak bagitau ustaz yang kelas tingkatan 1 Amanah tu ada banyak masalah." Saya bertanya: "Apa dia masalahnya? terang sehabis-habisnya!". Mereka beritahu bahawa ketua kelas tidak dapat kawal kelas kerana sikap pembantu kelas yang buat kerja sambil lewa/leka, lagi kelas tersebut ramai yang tidur waktu guru-guru masuk mengajar. Saya pun kata: "Hurmm, takpe! Ustaz akan uruskan (lalu berjalan terus menuju ke kelas 1 Amanah).

Semua pelajar berdiri, salam pun diberi, balas salam pun di buat. Tetapi saya tidak membenarkan para pelajar itu duduk lagi. Saya berkata kepada kelas: "Ustaz takkan beri kamu semua duduk, selagi soalan ustaz tak diberi jawapan, Ustaz nak tanya! Apa masalah yang berlaku dalam kelas ini? ustaz sebagai guru kelas perlu tahu!

Beberapa orang pelajar puteri memberitahu bahawa kelas tersebut ada puak-puak tersendiri, ada geng-geng, sombong dan tak mau campur dengan yang lain. Malah pelajar yang tinggal di rumah bergaduh dengan pelajar asrama dll. Maka saya pun berkata: Mengapa perlu bergaduh? Bukankah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah (takutlah) kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Ayat 10)

Saya menyambung lagi: "Allah kata bahawa orang yang beriman itu bersaudara, siapa di dalam kelas ini bukan orang beriman angkat tangan!" Semua pelajar tunduk diam. Lagi saya: "Siapa yang dalam kelas ini bukan orang beriman turun tangan!" Semua pelajar pantas mengangkat tangan supaya tak dikatakan bukan orang beriman. Maka saya pun berkata: "Lihatlah, kamu semua pun mengaku bahawa kamu ini orang yang beriman, tiada siapa pun yang suka apabila dikatakan tidak beriman, jadi mulai hari ini ustaz mahu kamu semua saling maaf memaafkan, dan jangan ada yang bermusuh-musuhan, boleh ke tak?" Keseluruhan kelas menjawab: "Insya Allah ustaz." Saya menarik nafas lega.

"Lagi, apa masalah yang kamu semua hadapi?" soal saya. Para pelajar beritahu bahawa hampir separuh kelas tidur sewaktu guru mengajar. "Aik? puteri pun tidur juga ke? Ingatkan putera sahaja! Ustaz nak tanya kamu semua, hukuman apa perlu dibuat kepada siapa yang tidur dalam kelas ini?". Mereka beritahu bahawa ada senarai kesalahan yang ditampalkan di papan notis hadapan dan hukumannya ialah berbentuk bayaran, siapa yang buat salah dikehendaki bayar kepada kelas nilai sekian-sekian.

Saya pun melihat ke papan notis dan berkata: "Ooo, makan dalam kelas 30 sen, tidur dalam kelas... 30 sen juga?". Pelajar puteri: "Ya, betul tu ustaz!". Saya mengemukan: "Tidur dalam kelas mana boleh 30 sen!". "Habis tu ustaz, berapa?" tanya mereka. Saya tersenyum sambil menghulur tangan ke hadapan, di buka genggaman tangan itu jari demi jari dan berkata: "Tidur kena Rm 5.00!". Satu kelas kegemparan dan ada yang protes (hehe). Majoriti tidak bersetuju dan membangkang. Saya pun berkata: "Berani ke nak bangkang ustaz, ustaz kan guru kelas kamu semua, ustaz punya kawasan, ustaz boleh lah nak tetapkan peraturan dan tiada siapa boleh halang ustaz daripada menukar undang-undang kelas ini (sambil ketawa kecil, hahaha)."

Nak dipendekkan cerita, selepas itu saya sambung mengajar mereka dan terbukti keberkesanannya, tiada seorang pun yang tidur. Masya Allah.

Lihatlah, berbagai dan beraneka ragam mereka ini, apa yang penting kita kena kreatif dan tegas sedikit dalam menghadapi mereka. Sekadar ingin berkongsi dan bercerita. Perasaaan dan pengalaman anugerah Allah SWT. Moga Allah redha! [p/s: Sedang buat persiapan mengajar esok pula, sempat pula update blog dan berkongsi cerita] (",)

Saturday, April 9, 2011

Minggu Pertama Jadi Guru Untuk Sekolah Menengah (",)

[[Segala perasaan, saya lakarkan dengan senyuman]]

Minggu lepas, 6-8 April merupakan hari-hari awal saya mengajar di sekolah Menengah. Berbagai perasaan yang hadir bertamu di hati setiap kali menjejakkan jiwa ke alam perguruan.
Semua itu akan saya bingkaikan dalam fikiran saya.

6 April, Rabu, menjejakkan kaki di SMIK, antara sekolah terawal saya mendapat pendidikan (akademik+ketuhanan). Kelihatan para pelajar khusyuk mendengar tazkirah sewaktu perhimpunan pagi (saya terimbau kenangan lama, saya dulu macam itu lah). Tanpa membuang masa, saya melangkah menuju ke pejabat, sejurus masuk terserempak dengan Ustaz Mazlan Bin Tan, guru bahasa Arab saya dan guru Pendidikan Syariah Islam.

Saya menunjukkan surat dan dokumen selengkapnya lalu ustaz membawa saya berjumpa dengan pengetua, Cikgu Abdullah Thaidi bin Hassan. Dipersetujui kemudian di bawa ke bilik guru, mendapat meja sebelah cikgu Saiful, seorang graduan KTD yang mengajar sementara menunggu peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pagi pukul 8.00 terus masuk mengajar ke kelas tingkatan 1 Hasanah (kelas puteri yang dikatakan cemerlang).

7 April, Khamis, kelas pertama kelas PSI tingkatan 4 putera, bertemu dengan mereka semula, adik-adik SMIK yang mana ketika saya tingkatan 5 mereka masih tingkatan 1. Alhamdulillah semua sihat sejahtera. Kemudian saya mengajar kelas bahasa arab untuk tingkatan 1 Amanah (kelas puteri yang sederhana cemerlang) untuk 2 hari pertama kebanyakan kelas yang saya masuk adalah demi taaruf sahaja. Kemudian masuk ke kelas tingkatan 2, taaruf dan terus mengajar.

8 April, perasaan jadi lain. Sebabnya hari tersebutlah saya akan mula mengajar secara rasminya. Kelas pertama, kelas bahasa Arab 1 (Nahu) untuk kelas 1 Hasanah (puteri). Saya teguhkan diri untuk menjadi yang terbaik, masuk ke kelas tersebut dan mengajar. Di akhir waktu, saya bertanya kepada seluruh kelas: "Senang tak ustaz ajar ni?" Murid-murid pun menjawab: "Senang ustaz, cara ustaz kami senang faham.". Perasaan saya sungguh gembira, kelas saya yang pertama dilalui dengan jayanya. Kemudian saya masuk ke kelas 1 Fathonah (kelas putera sederhana cemerlang) sekadar taaruf akan tetapi kelas amat ceria, entah kenapa pelajar-pelajar tingkatan 1 lelaki seolah-olah gembira dengan kedatangan saya (mungkin sebab saya ini ustaz yang paling muda di sekolah tersebut).

Kemudian kelas 1 Amanah (kelas puteri sederhana cemerlang), saya perasan ada beberapa orang pelajar yang tiada asas bahasa arab, saya bagi galakan kepada mereka dan sambung mengajar. Di akhir kelas, saya bertanya sekali lagi : "Faham tak yang ustaz ajar ni?" murid-murid hampir majoriti kata "Faham ustaz." Dan kelihatan 4-5 orang yang kurang faham maka saya pun kata: "Yang tak faham sila angkat tangan dan jumpa ustaz di hadapan, yang lain yang dah faham sila buat kerja sekolah muka surat sekia, sekian." Pelajar yang kurang pun ke hadapan meja guru. Seorang demi seorang saya terangkan semula, dan alhamdulillah kesemua mereka faham. Allah nak tolong (",).

Alhamdulillah Allah bantu + pengalaman mengajar di sekolah Rendah Ibn Kathir. Betullah apa yang diberitakan Allah di dalam firmanNya, Surah Al-Ankabut:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Ayat 69).

Sekadar perkongsian luahan hati. Wallahu A'lam. (",)

Sunday, April 3, 2011

Pilihan ku, yang mana patut pergi? (",)


Jordan kah??

atau Mesir kah yang sesuai untuk menyambung pengajian ku??

Dalam kehidupan kita ini, Kita seringkali berdepan dengan berbagai pilihan yang memerlukan keputusan segera. Setiap pilihan yang kita lakukan akan menetukan nasib kita dikemudian hari. Kadangkala kita tersalah membuat pilihan menjadikan kehidupan kita bermuarakan kesedihan, kekecewaan dan penyesalan.

Kadangkala kita membuat pilihan yang bijak dan betul namun itu bukanlah satu-satunya pilihan yang perlu kita lakukan. Hidup ini umpama satu rangkaian teka teki, jika kita berjaya mendapatkan jawapan yang betul maka kita akan berpeluang menjawab teka teki yang seterusnya.

Inilah simpang siur kehidupan. Persoalannya "Adakah kita telah memilih jalan yang betul?"

Antara persoalan dan perkara yang saya buat ketika membuat keputusan:

1. Untuk tujuan apakah saya ke sana? Kalau tujuan hanya untuk meraih dunia, populariti, kepentingan peribadi (dengan erti kata lain tujuan untuk sesuatu yang remeh), lebih baik di abaikan.

Jika sekiranya tujuan dan bermatlamatkan Redha Allah SWT, yakni hidup untuk sesuatu yang besar, maka itu yang saya pilih.

2. Betulkah pilihan itu membolehkan saya menggapai Redha Allah SWT? Untuk menentukannya, kita boleh lihat di sekitar kehidupan kita nanti, ada atau tidak sahabat-sahabat yang hendak tegur jika kita buat silap, ada tak sahabat-sahabat yang hendak beri peringatan untuk kebaikan, ada tak suasana yang mendidik hati kita supaya lebih dekat kepada Allah SWT.

Seandainya jawapan kepada persoalan tersebut adalah ya, maka saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan. Jika jawapannya tidak, maka saya tidak akan pandang terhadapnya.

Tambahan dalam membuat keputusan, ramai manusia terlupa, ketika ia penat lelah menghasilkan sesuatu keputusan ia terlupa untuk memohon kepada yang Maha merubah takdir.

PENGHARAPAN KEPADA ALLAH

Sejauh mana atau sepayah mana pun sesuatu perkara, janganlah sekali-kali kita lupa kepada Allah. Ianya kerana Allah SWT lah yang Maha Mengetahui setiap urusan hamba-hambanya, malah Allah SWT lah yang mendatang sesuatu musibah dan mendatangkan kegembiraan kepada makhluknya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, pasti Allah berdaya menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan siapa yang Ia kehendaki dan menyeksa siapa yang Ia mahu (menurut undang-undang peraturan-Nya). Ingatlah, Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya."(Ayat 284)

Manusia selalu hilang pertimbangan kerana selalu tidak berharap kepadaNya.
Di samping ketiadaan matlamat dan noktah bidayah (titik mula) yang jelas.

Perlunya kita tahu apa matlamat sebenar yang kita kehendaki dari pemilihan dan membuat keputusan ini agar kita tidak tersalah memilih jalan yang terbaik buat kita.

Kesilapan dan kecuaian ada padahnya. Setiap pilihan yang kita lakukan memerlukan keseriusan, kepekaan jiwa dan kesungguhan untuk melakukan pilihan yang terbaik. Kelemahan jiwa kadang-kadang menyebabkan kita memandang mudah dan remeh perkara utama dalam kehidupan kita hingga kita terperangkap dengan akibat kecuaian dan kebodohan kita dalam memilih jalan yang betul.

Buatlah keputusan, pastikan keputusan kita itu adalah untuk sesuatu yang besar.
Tiada suatu yang besar melainkan Allah SWT.

"Hiduplah untuk sesuatu yang besar"

--------------------------------------------------
Kesimpulannya, tidak kiralah sama ada saya akan ke mesir atau jordan, yang penting Allah sentiasa ada bersama, ada sahabat yang memperingatkan dan kita kekal diatas jalanNya.

Wallahu A'lam. [Masih lagi mengurus urusan ke jordan dan ke mesir] (",)