[[Segala perasaan, saya lakarkan dengan senyuman]]
Minggu lepas, 6-8 April merupakan hari-hari awal saya mengajar di sekolah Menengah. Berbagai perasaan yang hadir bertamu di hati setiap kali menjejakkan jiwa ke alam perguruan.
Semua itu akan saya bingkaikan dalam fikiran saya.
6 April, Rabu, menjejakkan kaki di SMIK, antara sekolah terawal saya mendapat pendidikan (akademik+ketuhanan). Kelihatan para pelajar khusyuk mendengar tazkirah sewaktu perhimpunan pagi (saya terimbau kenangan lama, saya dulu macam itu lah). Tanpa membuang masa, saya melangkah menuju ke pejabat, sejurus masuk terserempak dengan Ustaz Mazlan Bin Tan, guru bahasa Arab saya dan guru Pendidikan Syariah Islam.
Saya menunjukkan surat dan dokumen selengkapnya lalu ustaz membawa saya berjumpa dengan pengetua, Cikgu Abdullah Thaidi bin Hassan. Dipersetujui kemudian di bawa ke bilik guru, mendapat meja sebelah cikgu Saiful, seorang graduan KTD yang mengajar sementara menunggu peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pagi pukul 8.00 terus masuk mengajar ke kelas tingkatan 1 Hasanah (kelas puteri yang dikatakan cemerlang).
7 April, Khamis, kelas pertama kelas PSI tingkatan 4 putera, bertemu dengan mereka semula, adik-adik SMIK yang mana ketika saya tingkatan 5 mereka masih tingkatan 1. Alhamdulillah semua sihat sejahtera. Kemudian saya mengajar kelas bahasa arab untuk tingkatan 1 Amanah (kelas puteri yang sederhana cemerlang) untuk 2 hari pertama kebanyakan kelas yang saya masuk adalah demi taaruf sahaja. Kemudian masuk ke kelas tingkatan 2, taaruf dan terus mengajar.
8 April, perasaan jadi lain. Sebabnya hari tersebutlah saya akan mula mengajar secara rasminya. Kelas pertama, kelas bahasa Arab 1 (Nahu) untuk kelas 1 Hasanah (puteri). Saya teguhkan diri untuk menjadi yang terbaik, masuk ke kelas tersebut dan mengajar. Di akhir waktu, saya bertanya kepada seluruh kelas: "Senang tak ustaz ajar ni?" Murid-murid pun menjawab: "Senang ustaz, cara ustaz kami senang faham.". Perasaan saya sungguh gembira, kelas saya yang pertama dilalui dengan jayanya. Kemudian saya masuk ke kelas 1 Fathonah (kelas putera sederhana cemerlang) sekadar taaruf akan tetapi kelas amat ceria, entah kenapa pelajar-pelajar tingkatan 1 lelaki seolah-olah gembira dengan kedatangan saya (mungkin sebab saya ini ustaz yang paling muda di sekolah tersebut).
Kemudian kelas 1 Amanah (kelas puteri sederhana cemerlang), saya perasan ada beberapa orang pelajar yang tiada asas bahasa arab, saya bagi galakan kepada mereka dan sambung mengajar. Di akhir kelas, saya bertanya sekali lagi : "Faham tak yang ustaz ajar ni?" murid-murid hampir majoriti kata "Faham ustaz." Dan kelihatan 4-5 orang yang kurang faham maka saya pun kata: "Yang tak faham sila angkat tangan dan jumpa ustaz di hadapan, yang lain yang dah faham sila buat kerja sekolah muka surat sekia, sekian." Pelajar yang kurang pun ke hadapan meja guru. Seorang demi seorang saya terangkan semula, dan alhamdulillah kesemua mereka faham. Allah nak tolong (",).
Alhamdulillah Allah bantu + pengalaman mengajar di sekolah Rendah Ibn Kathir. Betullah apa yang diberitakan Allah di dalam firmanNya, Surah Al-Ankabut:
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Ayat 69).
Sekadar perkongsian luahan hati. Wallahu A'lam. (",)
1 comments:
Nice Post. hesley weighing scale
Post a Comment